POLITIK DALAM ISLAM
Politik dan Islam tidak dapat dipisahkan, justeru ia adalah sebahagian
daripada cara hidup manusia. Namun politik yang bagaimana?
Ini yang menjadi persoalan. Sebahagian daripada pejuang Islam sendiri
kabur dengan makna dan kehendak politik sebenarnya. Mereka terikut-ikut
dengan aliran politik barat dan mengharapkan Islam dapat ditegakkan dengan
cara itu. Malah mereka marah jika ada pejuang Islam lain yang tidak
mahu terjebak dengan perangkap musuh-musuh Islam melalui bidang politik
tajaan orang-orang kafir.
Mengapa ini terjadi? Ini disebabkan umat Islam tidak pernah didedahkan
kepada satu bentuk politik yang bersih, kuat dan stratejik.
Kini sudah tiba masanya kita mendedahkan apa itu politik Rasulullah dan
bagaimana matlamat serta perlaksanaannya. Jarang benar ketokohan
Rasulullah SAW ditonjolkan dalam bentuk bagaimana baginda berpolitik
untuk menaikkan Islam di tengah jahiliah. Bagaimana ia memproses
peribadi-peribadi yang dulunya menentang Islam? Ke arah cinta dan
sanggup mati kerana Islam. Jika rahsia ini terserlah, ertinya semakin
cerahlah jalan ke arah mencontohi Rasulullah sebagai ahli politik.
Politik ialah bagaimana hendak mentadbir manusia mengikut jalan
dan matlamat yang telah ditentukan. Politik Islam bercita-cita untuk
mendidik dan membawa manusia supaya mempunyai kesedaran, kefahaman, penghayatan
dan seterusnya dapat menegakkan kalimatullah di seluruh bidang kehidupan.
Ini dibuat melalui saranan, contoh tauladan, memberi pimpinan dan lain-lain
cara yang dibolehkan oleh syariat. Tujuannya agar semua manusia terhindar
daripada Neraka dan dapat masuk ke dalam Syurga.
Jadi, inilah garis politik Rasulullah. Dan di bidang ini tiada
siapa yang dapat menandingi baginda. Rasulullah SAW tidak memimpin
secara politik demokrasi, secara diktator atau pun secara autokrasi.
Dengan kefahaman yang tinggi tentang jiwa, akal, dan perasaan manusia,
Rasulullah SAW telah berjaya memimpin secara fitrah. Maksudnya, Rasulullah
SAW membawa manusia ke jalan yang diyakininya tanpa paksaan dan tekanan.
Ia mampu memindahkan hasrat yang terpendam dilubuk hatinya menjadi hasrat
orang lain. Ertinya politik Rasulullah ialah politik dari hati ke
hati.
Allah berfirman:
"Tiada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada
kesesatan."
Atas dasar ini, Rasulullah SAW berjaya menawan jiwa manusia dan
daripada situlah seluruh harta, tenaga dan nyawa pengikut-pengikutnya diserah
bulat-bulat untuk Islam.
Di antara fitrah semulajadi manusia ialah mahu pandangannya dihormati
dan dihargai. Rasulullah sedar hakikat ini. Oleh itu apabila
Rasulullah berhadapan dengan ahli ekonomi seperti Abd Rahman bin Auf, yang
minat serta kecenderungannya di bidang perniagaan, beliau memupuk bakat
itu supaya terus subur dan berkembang. Akhirnya Abdul Rahman Bin
Auf pun menjadi pengusaha yang berjaya.
Bila Rasulullah SAW berhadapan dengan pakar di bidang ketenteraan
seperti Khalid Al Walid, maka semangat perwiranya terus disuburkan ke arah
jihad fisabilillah, kebalikan daripada semangat Assobiyah (Nasionalisma).
Bila baginda berhadapan dengan ahli fikir, pakar strateji dan kepala perancang
seperti Umar IbnulKhattab, maka Rasulullah SAW terus mendorong ke arah
bagaimana untuk menggunakan kepakaran itu buat kemenangan dan kejayaan
Islam. Oleh itu setiap individu di kalangan para sahabat akan rasa
dihargai kerana bakat dan kelebihan semulajadinya berperanan dalam perjuangan
Islam. Seorang buruh, petani, peniaga, pentadbir dan semua lapisan masyarakat
telah disusun oleh Rasulullah SAW dalam satu barisan yang mempunyai
kegunaan dan peranan masing-masing. Atas dasar ini, jika ada gerakan Islam
yang menumpukan perhatian mereka kepada golongan 'elit' dan 'intelek' sahaja,
perjuangan mereka sebenarnya telah menyimpang daripada sirah Rasulullah
SAW.!
Mari kita lihat secara dekat bagaimana individu-individu (yang mempunyai
berbagai-bagai kepakaran) itu dapat diubah daripada membina jahiliyah (dengan
kelebihan-kelebihan itu) kepada membina Islam. Sebelum para sahabat diajak
menegakkan Islam melalui bidang masing-masing, Rasulullah terlebih dahulu
menanam iman di dalam jiwa mereka. Agar dengan itu mereka akan menjadi
orang yang cintakan hidup akherat, rindu dengan syurga, gerun dengan neraka
dan kasih sayang sesama Islam. Keadaan daripada penanaman iman dan
tauhid di dalam hati individu-individu itu, maka lahirlah peribadi-peribadi
yang telah berubah wataknya. Dari watak yang bengis dan kejam kepada
kasih sayang dan pemaaf. Daripada seorang yang pembohong, jahil dan
mengutamakan hawa nafsu kepada seorang yang jujur, berilmu dan menegakkan
hukum Allah.
Tegasnya, Rasulullah SAW telah berjaya menukar mereka yang dulunya
menyembah berhala kepada menyembah Allah. Mereka yang dulunya terbiar,
hidup dalam perhambaan dan terasuh dengan jalan yang salah oleh para pemimpin
jahiliyyah kepada satu cara hidup dan perjuangan di mana bakat semulajadi
terus dipupuk dan dibajai.
Daripada penanaman iman ini lahirlah ahli fikir yang agung
sedangkan dahulu ia adalah peminum arak. Lahirlah pentadbir-pentadbir
yang cekap sedangkan dahulunya mereka adalah golongan bawahan yang tertindas.
Individu-individu yang dulunya diperhambakan oleh hawa nafsu kini menjadi
panglima perang yang gigih berperang menentang orang kafir dan menjadi
abid yang sentiasa berzikir. Inilah hasil siasah Rasulullah SAW.
Soalnya sekarang, bagaimana Rasulullah SAW menanam Iman ke dalam
jiwa para sahabat? Bagaimana Rasulullah berjaya menukar watak-watak
jahiliyyah kepada peribadi mukmin sekaligus dapat menggunakan bakat-bakat
mereka untuk Islam? Jawabnya, melalui dakwah dan tarbiah. Untuk
itu Rasulullah SAW datang ke tengah masyarakat dengan menyebarkan ilmu
pengetahuan, memberi tunjukajar yang baik, lunak dan menarik, bijaksana,
berakhlak serta membina model masyarakat yang disarankan melalui amal makrufat
yang memberi menafaat kepada masyarakat.
Dengan ini secara otomatik Islam akan diyakini sebagai cara hidup
yang terbaik untuk mengatur kehidupan manusia. Islam nescaya diterima
sepenuhnya untuk mengatur dan menguruskan harta, perniagaan sawah ladang,
keluarga, kampung halaman, negeri, negara dan dunia seluruhnya.
Apabila Islam diterima untuk mengatur kehidupan maka terbuktilah
keindahan dan kegagahannya. Bidang ekonomi ditadbir penuh jujur,
cermat, cekap dan mendapat keuntungan yang lumayan . Begitu juga
di bidang pertanian, tanaman dan penternakan mendapat hasil yang
berkat oleh tangan petani yang beriman. Kampung ditadbir oleh ketua-ketua
yang bijaksana sehingga terbinalah kampung seperti mana yang disifatkan
oleh Allah Taala di dalam Al Quran:
"Jikalau penduduk-penduduk satu kampung beriman kepada Allah dan
bertakwa nescaya sesungguhnya Kami (Allah)akan bukakan ke atas mereka itu
keberkatan daripada langit dan bumi."
Begitu juga , Rasulullah SAW berjaya menghasilkan pentadbir-pentadbir
peringkat negara sehingga tertegaklah apa yang difirmankan Allah:
"Negara makmur yang mendapat keampunan Tuhan."
Ini lah rahsia politik Rasulullah. Bermula dengan tapak dakwah
dan tarbiah yang menanamkan iman didalam hati sanubari setiap individu,
sehinggalah keyakinan kepada ALlah, rasul dan hari akherat tergambar dalam
sikap dan tindakan. Tahap kedua ialah memupuk bakat dan kelebihan
semulajadi yang ada pada individu-individu yang beriman itu dan mula mengatur
bidang-bidang yang sesuai supaya bakat mereka terus berperanan. Akhirnya
mulalah satu bentuk kehidupan Islam yang menyeluruh dapat dilihat dan dirasakan
oleh masyarakat. Kemudian dengan sendirinya Islam akan diakui sebagai
satu-satunya agama yang mampu mengatur hidup manusia. Ertinya politik Islam
bermula daripada mentadbir diri, keluarga kemudian membina cara hidup Islam
di seluruh aspek kehidupan samada di bidang pertanian, perniagaan,
perubatan, pendidikan dan akhirnya sampailah ke peringkat mengatur negara
dan dunia!
Bentuk politik yang beginilah yang wajib ada dalam gerakan Islam.
Dan siapa yang menolaknya, ertinya ia telah memisahkan agama daripada politik.
Politik tidak boleh difahami secara dangkal mengikut kefahaman setengah-setengah
pihak. Politik bukanlah sekadar mengundi dalam pilihanraya "ala-demokrasi"
Barat, bukan sekadar mendaftar sebagai anggota mana-mana pertubuhan politik
atau sekadar mahu dan bercita-cita untuk menjadi anggota parlimen dan lain-lain
lagi. Jika fahaman-fahaman ini masih berakar umbi dalam kepala kita...ini
bererti kefahaman politik kita masih sekular, masih politik yang terpisah
dari agama yang pada hakikatnya masih jauh daripada politik Rasulullah
SAW.
Secara terus terang kita ingin bertanya, adakah ahli-ahli politik
beragama Islam sekarang mengikut jejak politik Rasulullah? Tidak ! Tidak
! Kebanyakan ahli politik pada hari ini mencedok bulat-bulat politik demokrasi
Barat yang penuh dengan rebutan kuasa, guling mengguling dan tidak pernah
sunyi dengan pertarungan sesama sendiri. Mengapa ini terjadi? Ini
disebabkan politik Barat mempunyai satu matlamat iaitu kuasa. Dengan
kuasa mereka yakin dapat mengatur hidup manusia mengikut lunas-lunas ideologi
yang mereka yakini. Kapitalis dahagakan kuasa untuk melagang cara
hidup kapitalis, pemuja faham sosialis inginkan kuasa untuk menyusun masyarakat
berdasarkan cara hidup sosialis... tetapi Islam tidak menganggap kuasa
sebagai satu-satunya jalan untuk menegakkan cara hidup Islam. Ertinya pejuang
Islam tidak perlu mencontohi pejuang Nasionalis, kapitalis, sosialis, kominis
yang menganggap kuasa adalah penentu segala-galanya.
Atas dasar ini, politik Rasulullah SAW bukan politik yang bertujuan
untuk mendapat kuasa. Rasulullah berjuang terhadap orang kafir bukan hendak
meruntuhkan kuasanya, tetapi hendak meruntuhkan akidah dan keyakinan yang
karut marut dalam jiwa mereka. Mereka boleh duduk pada tempat masing-masing
. Bila akidah dan keyakinan berubah, berubahlah akhlak, sikap dan pentadbiran.
Sejarah telah membuktikan kejayaan politik Rasulullah ini, Khalid Al Walid
pada masa jahiliyyah adalah panglima tentera yang menggugat tentera Islam,
manakala beliau memeluk Islam, beliau tetap dikekalkan sebagai panglima
tentera. Saidina Umar, pada masa sebelum Islam adalah seorang pembesar
Quraisy, manakala memeluk Islam, beliau tetap dianggap Rasulullah SAW sebagai
pembesar juga. Begitulah juga yang berlaku kepada saudagar besar dan ketua-ketua
suku Arab seperti Abdul Rahman bin Auf, Abu Sufian, Amru Al As dan lain-lain
lagi. Mereka tetap duduk dan terus berperanan dengan bakat masing-masing...cuma
hati dan jiwa sahaja yang telah diubah!
Alangkah baiknya jika siasah Rasulullah SAW ini dicontohi oleh para
pejuang Islam sepanjang zaman, iaitu dengan menawan hati bukan menawan
kerusi,
mengubah jiwa bukan merampas kuasa.
Malangnya ini tidak berlaku. Bahkan ada pihak yang bertanya,
adakah akan berjaya jika kita mengikut siasah Rasulullah? Sampai
bila kita harus menunggu untuk menawan hati dan mengubah jiwa manusia?
Soalan-soalan ini jelas menunjukkan
sikap gopoh, tidak faham dan lemah jiwa.
Jika orang bertanya, akan berjayakah kalau kita ikut cara
Rasulullah berpolitik?
Soalan ini samalah seperti kita bertanya adakah kita akan berjaya
jika kita mengikut Rasulullah di bidang perniagaan? Jawabnya,
Rasulullah memang berjaya. Tidak ada catitan sejarah yang menunjukkan
Rasulullah "bangkrup" dalam perniagaannya, sedangkan selama kita mengikut
sistem perniagaan dan ekonomi Barat berapa ramai yang jatuh muflis? Berapa
banyak hutang negara kita? Berapa ramai taukeh-taukeh besar bertukar
menjadi banduan sekelip mata? Berapa banyak tanah yang dicagar di
bank tergadai? Inilah jawapan kepada orang yang mahu mempertahankan sistem
ekonomi Barat.
Dan inilah juga yang akan menimpa jika kita terus menafikan sistem
politik Rasulullah. Kejayaan Rasulullah di bidang siasah telah jelas
dan siapa yang menurut jejak langkahnya, InsyaAllah akan turut berjaya.
Tanpa bersusah-susah memerah otak untuk mencari punca krisis politik yang
menimpa dunia hari ini, akui sahajalah kerana kita menolak sistem politik
Rasulullah.
Sukarno terperangkap dengan permainan politiknya sendiri dan akhirnya
mati sebagai tahanan di dalam rumahnya sendiri. Benn Bella digulingkan
dan disumbatkan di dalam penjara. Sadat ditembak dan mati terhina
di muncung senjata perajuritnya sendiri. Dan ramai lagi pemimpin-pemimpin
Islam yang telah, sedang dan akan jatuh terhina akibat berpolitik cara
Barat iaitu cara politik yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW.
Malah pejuang-pejuang Islam yang benar-benar ingin menegakkan Islam
tetapi masih menerima jalan politik Baratpun, turut terhina dengan kekalahan
memanjang.....
Politik berpilihanraya ala-barat bukanlah politik yang dicetuskan
oleh sunnah. Cara ini menyeret orang yang tidak tahu menahu dalam
pemerintahan seperti orang kampung, para petani, para nelayan ke kancah
politik yang penuh tipu daya dan putar belit.....
Memang mereka boleh berhujah dengan kata-kata, "Politic is not dirty,
but politicians make it dirty," tetapi kita tidak pernah melihat kejujuran
dihargai dalam politik. Memang ada ahli politik yang jujur, tetapi
politik bukanlah satu medan yang mana orang jujur boleh bertahan lama!!
Sebab itu kita ingin menyatakan bahawa," Politic is a dirty game,
the politicians make it dirtier," Sudah lumrah mengikut falsafah politik
barat, matlamat menghalalkan cara. Sedangkan mengikut politik Islam,
matlamat yang benar mesti diperjuangkan mengikut jalan yang benar.
Dan Islam menolak jalan perjuangan yang salah walaupun cita-cita dan matlamatnya
baik.
Inilah politik barat. Satu bidang yang memang ada jurang yang
dirancang di hujungnya. Mahu tidak mahu, kita "terpaksa" jatuh ke
dalamnya. Oleh itu kita mesti menolak 100% matlamat, kaedah dan apa saja
yang berkaitan dengannya. Menerimanya bererti menjemput kehinaan.
Bertolak ansur dengannya bererti rela menerima kemusnahan. Sekarang
timbul persoalan, siapakah ahli siasah yang sebenarnya?
Ahli siasah yang sebenarnya ialah dia yang dapat merancang, bertindak
dan berjuang menegakkan Islam dalam apa keadaan sekalipun. Rasulullah
adalah 'Bapa Politik Islam'. Baginda dapat mencari ruang di celah-celah
asakan jahilyyah untuk menegakkan Islam. Rencananya dapat menembusi
dinding Darul Nadwah, "Parlimen" orang Arab jahiliyyah dan berjaya
menukar orang yang pernah duduk di kerusi Darul Nadwah menjadi "orang penting"
dalam pemerintahan Islam. Sebab itu bukanlah mustahil jika ada pejuang
Islam yang mampu mengubah tokoh-tokoh politik yang sedang berkuasa sekarang
kepada cara pemerintahan dan pentadbiran Islam. Sekali lagi, kita
katakan....Ini tidak mustahil!!!
Tetapi kenyataan ini akan menimbulkan isu kontravesial terutamanya
di kalangan parti-parti politik yang bercorak Islam. Apa yang dilakukan
oleh parti-parti ini bukanlah hendak menawan hati lawannya dengan menanam
iman dan takutkan Allah, tetapi hendak menawan kedudukan dan kerusi-kerusi
kebesaran mereka. Sebab itu tidak hairanlah jika datang tentangan
yang hebat dari lawan mereka dan timbul tuduhan-tuduhan daripada masyarakat
Islam yang mengatakan mereka inginkan pangkat dan kedudukan, bukan hendak
meninggikan syariat Islam.
Lebih-lebih lagi , parti-parti politik ini suka mencari kesalahan
parti musuhnya, kemudian ditelanjangkan di khalayak ramai. Ini bukan
cara politik Rasulullah dan ini menyimpang terus dari ajaran Islam.
Jika kita terus menerus mengamalkan cara ini, percayalah, perjuangan kita
tidak akan sampai ke mana, orang semakin hari semakin lari dan benci kepada
kita. Akibat daripada ini, kita tuduh masyarakat lari dari Islam,
walaupun yang sebenarnya mereka lari daripada kita. Sebaliknya di
pihak masyarakat pula , mereka menganggap Islam itu ganas, kasar dan menyusahkan
sedangkan yang sebenarnya ahli politik itulah yang bersikap demikian, bukan
ajaran Islam!
Pengalaman-pengalaman yang kita telah alami, terutamanya peristiwa-peristiwwa
pahit yang melanda masyarakat Islam akibat perebutan kuasa sepatutnya telah
lama mengajar kita bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk kembali
kepada sistem politik Rasulullah. Masyarakat sepatutnya dapat menilai
politik yang mana yang dapat memberi kebahgiaan dan keamanan untuk negara.
Apakah kita masih mahu mempertahankan sistem politik yang menimbulkan huru-hara?
Atau mulai saat ini kita menerima politik Rasulullah yang telah terbukti
berjaya? Terpulanglah kepada masyarakat menimbangkannya.
(Artikel dari pembacaan)
Pelawat no.